Tips-TipsTransaksi & Urus Niaga Online
Saturday, March 01, 2008
Tips-Tips Transaksi & Urus Niaga Online
Hasil Nukilan Saudara Amirol:-Sedikit pandangan serta tips kepada mereka - mereka yang baru sahaja menjejakkan kaki ke dunia urusniaga secara online.
Di sini ada beberapa tips yang ingin diberikan kepada rakan baru yang masih ragu - ragu atau tidak berani melakukan transaksi online . :
1. Sebelum Tempahan
Pastikan sebelum anda membuat tempahan, semak butiran akaun, nama pemilik akaun dan juga status pemilik akaun tersebut (adakah beliau menyembunyikan identiti beliau??)… Bagaimana untuk membuat semakan identiti beliau? Gunakan Google.com dan carilah (track) nama beliau, nama produk beliau dan kenali beliau terlebih dahulu.
2. Pengesahan Bayaran
Setelah bayaran dibuat, pastikan anda membuat pengesahan bayaran anda. Rata - rata usahawan negara kita ada menyediakan “BORANG PENGESAHAN” yang membolehkan anda mengisikan butiran bayaran yang telah dilakukan. Dengan cara ini, pengusaha dapat mengenal pasti siapakah yang telah membuat pembelian produk mereka dan seterusnya boleh membuat penghantaran produk (download / pos) dengan segera.
Jika anda tidak mengisikan borang pengesahan atau tidak memaklumkan kepada si pengusaha bahawa anda telah membuat bayaran, maka akan timbul kesukaran dimana si pengusaha tidak dapat “proceed” untuk menghantar produk kerana tidak memiliki butiran anda iaitu si pembeli.
Saya nyatakan hal ini kerana saya pernah menerima beberapa bayaran namun tiada butiran pengesahan bayaran yang dihantarkan. Setelah beberapa hari kemudian baru saya menerima email yang menyatakan produk tak diterima.
Jadi, ringkasnya, pastikan selepas pembayaran dibuat, jangan lupa untuk menghantar maklumat belian sama ada dengan mengisikan borang pengesahan atau menghantar email kepada si penjual.
Ini supaya si penjual dapat mengesan bayaran datang daripada pihak anda dan terus menghantar produk tanpa sebarang masalah.
NOTA : Saya ingin menyarankan kepada bakal pembeli yang ingin membuat pembelian apa - apa produk secara online, sebaik - baiknya gunakan alamat email percuma seperti Gmail.com atau Yahoo.com. Ini berikutan kerana jika anda menggunakan alamat email daripada syarikat atau tempat kerja anda, berkemungkinan email daripada si penjual akan disekat adalah tinggi. Jadi, untuk mengelakkan status penghantaran maklumat produk yang anda beli tidak sampai kepada anda, pastikan anda mendaftar akaun email percuma dari Gmail.com atau Yahoo.com.
3. Butiran Produk
Oleh kerana sistem pembayaran di negara kita ini menggunakan Online Banking, Deposit, Wang Pos, jadi proses penghantaran produk biasanya akan mengambil masa sedikit. Jika produk digital (download), proses penghantaran produk akan mengambil masa selewat - lewatnya 48jam. Namun kebiasannya pihak penjual akan mengirimkan link download dalam tempoh 24jam sahaja. Jadi, bersabarlah menunggu.
Namun, jika telah melepasi tempoh penghantaran produk yang dinyatakan, anda perlulah menghubungi semula si penjual untuk bertanyakan status produk anda. Kadang kala email pengesahan, atau pesanan anda tidak sampai kepada si penjual ATAU, email yang dikirimkan oleh sipenjual kepada anda telah masuk ke SPAM/JUNK mail email anda.
Jadi, di sini anda perlu ALERT (AWAS) dengan email - email yang masuk ke SPAM/JUNK mail anda.
Sekali lagi ingin saya ingatkan, buat anda yang menggunakan email dari syarikat (namaanda@syarikatanda.com), elakkan menggunakan email ini. Ini kerana email daripada sipenjual akan disekat oleh pihak syarikat. Oleh itu, pastikan anda mendaftar email percuma di Gmail.com atau Yahoo.com. Gunakan email - email ini untuk semua transaksi online anda.
4. Prosedur Email
Saya ingin menyentuh sedikit tentang prosedur email yang mana setiap hari saya telah menerima banyak email daripada pembeli dan pelawat. Di sini saya ingin menekankan satu perkara bahawa, jangan hantar email yang TERLALU ringkas. Walaupun saya sebenarnya suka email yang ringkas kerana cepat saya baca, namun janganlah terlalu ringkas sehinggakan saya tidak tahu hujung atau pangkal cerita.
Elakkan menghantar email seperti “saya tak dapat download produk anda“, “saya ada hadapi masalah dengan web saya.. tolong bantu saya“, “saya nak tahu lebih lanjut tentang XXX“…
Alangkah baiknya jika email yang dikirimkan mempunyai sedikit kata aluan, perkenalan diri (jika baru first time hubungi), menerangkan tujuan email, menerangkan punca - punca masalah dan apa yang diperlukan daripada saya… Jika ada masalah dengan laman web, sertakan sekali alamat URL untuk dilihat.
Sebenarnya perkara ini bukan untuk kepentingan saya sahaja, namun ianya menjadi kepentingan anda juga kerana masa anda akan jimat jika penerangan yang diberikan adalah jelas dan lengkap. Saya dapat terus menyediakan jawapan dan alternatif untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi. Aplikasikan tips ini untuk berurusan dengan semua penjual produk yang anda miliki jika menghadapi sebarang masalah atau pertanyaan.
Saya harap tips ringkas di atas ini dapat membantu serba sedikit tentang prosedur - prosedur asas dalam menjalankan urus niaga online.
- Amirol